Salam dan selamat sejahtera,
Terlebih dahulu, tidak terlewat untuk diucapkan selamat menghabiskan perjuangan peperiksaan untuk mahasiswa UM yang masih mempunyai bagi kertas peperiksaan, manakala yang sudah habis tahniah dan selamat bercuti.
Saya terpanggil untuk MENDAPATKAN FEEDBACK secara online tentang isu dewan makan antara lain juga menjadi faktor kepada yuran kolej kediaman yang tinggi.
Acapkali orang kata, UM yuran paling mahal dan tinggi berbanding universiti lain (hakikatnya benar). Berbalik kepada isu fokus kita pada perbincangan kali ini iaitu dewan makan, sehingga kini hanya terdapat 8 kolej kediaman yang mempunyai dewan makan dan terbaru apabila kolej sembilan mengambil keputusan untuk menutup dewan makan atas faktor kehendak pelajar sendiri. Manakala kolej keempat telah memutuskan untuk menyediakan makanan hanya pagi dan malam sahaja juga atas pilihan mahasiswa.
Faktor yuran, kolej kediaman diletakkan sepenuhnya di bawah Dewan Asrama-Asrama (DAA) telah menetapkan harga yuran seperti berikut :
- Kolej ada DM : RM6.50 (sehari) + RM3.50 (tiga kali makan), JUMLAH = RM10.00
- Kolej tiada DM : RM6.50 (sehari), JUMLAH = RM6.50
Untuk makluman semua, harga yuran ini tidak pernah naik sama sekali sejak dulu lagi walaupun terdapat desakan beberapa pengetua untuk menaikkan harga yuran tersebut. Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) sentiasa bertegas untuk mengekalkan harga yang sedia ada dan tidak akan naik sama sekali. Perlu diingatkan, perubahan harga yuran bagi kolej kediaman adalah bergantung kepada BILANGAN HARI KITA MENGINAP DI KOLEJ KEDIAMAN BAGI SEMESTER TERSEBUT DI SAMPING JUGA YURAN SEPERTI JTK/JIK, YURAN MAJALAH DAN 'ANNUAL DINNER'. Setakat ini, tiada 'charge' lain yang dikenakan melainkan sekiranya hal tersebut di putuskan terlebih dahulu di dalam mesyuarat DAA. Sekiranya berlaku kesilapan dalam pengiraan harga yuran, pelajar bolehlah berhubung terus dengan pihak kolej kediaman seperti yang berlaku di kolej ke-11 baru-baru ini di mana RM45 telahpun dikembalikan ke dalam akaun pelajar setelah saya sendiri dapati berlaku kesilapan pengiraannya.
Apa yang saya ingin bincangkan,yuran asrama universiti-universiti lain lebih rendah jika dibandingkan dengan kolej kediaman UM kerana beberapa faktor iaitu:
- Dewan makan di kolej kediaman, hanya di UM sahaja yang masih menggunakan konsep ini.
- Pentadbiran sendiri (mengambil pekerja termasuklah mak cik-mak cik DM dengan membayar gaji kepada mereka atas kapasiti kolej kediaman masing-masing)
- Bil elektrik yang sepenuhnya dibayar oleh pihak kolej kediaman, hanya bil air sahaja dibayar oleh universiti.
Bagi menangani isu ini, salah satu faktor diambil adalah dengan mencadangkan penutupan DEWAN MAKAN. Kajian pernah dibuat oleh pihak kolej kediaman bahawa harga runcit barangan keperluan yang meningkat menyebabkan harga yang RELEVAN ADALAH SEKITAR RM16.50 SEHARI DAN INI SUDAH PASTI MENGUNDANG KEPADA KEMARAHAN PELAJAR SEKIRANYA HARGA INI BERLAKU !!! Tetapi hakikatnya, dengan RM3.50 untuk menampung segala peralatan bahan-bahan dapur sudah tidak cukup lagi memandangkan perubahan harga pasaran bahan-bahan masak. Akibatnya, kolej kediaman mengalami kerugian setiap tahun hingga berjuta-juta ringgit. Perlu diingatkan bahawa yuran anda adalah sepenuhnya dibelanjakan untuk fasiliti kolej kediaman, urusan pentabdiran termasuklah bayaran gaji pekerja, projek-projek kegiatan pelajar dan hal-hal sewaktu dengannya.
Secara logiknya, sekiranya mahasiswa ingin melihat kepada pengurangan harga yuran bagi kolej kediaman ianya sebenarnyasudah relevan dengan keperluan semasa. Tetapi masih ramai lagi pihak yang tidak tahu dan cuba menjadikan isu ini seperti barah seolah-olah tiada ubat. Justeru itu, saya mohon pandangan saudar-saudari yang budiman lagi bijaksana, apakah langkah untuk menutup DM di semua kolej relevan atau tidak untuk melihat masalah kerugian kolej kediaman tidak akan berlaku lagi di samping harga yuran dapat dikurangkan pada kadar yang lebih rendah.
Dalam hal ini, SPKUM pimpinan saudara Fahmi Adilah yang lepas telah membuat kajian kepada setiap kolej kediaman dan hasilnya terdapat beberapa kolej kediaman penghuninya mohon menutup dewan makan seperti apa yang berlaku ke atas kolej ke-9. Dan apa kali ini, MPMUM dengan kerjasama SPKUM turut membuat kajian yang sama untuk medapatkan 'feedback' yang terbaru dan hasilnya masih lagi dalam proses. Tetapi setakat ini, rata-rata mahasiswa ingin DEWAN MAKAN KEKAL seperti biasa. Ini sudah pasti, jimat wang dan makanan sudah tersedia.
Sekali lagi, saya mohon kepada warga UM yang prihatin dengan isu ini untuk berikan pandangan dan saya akan cuba lakukan sesuatu berdasarkan pandangan ataupun cadangan kalian. Saya amat yakin, isu yuran ini dihadapi dan cuba diselesaikan setiap tahun oleh barisan pimpinan pelajar termasuk MPMUM yang lepas dan juga JTK kolej kediaman. Akhir kata, sama-sama kita berbincang secara ilmiah dan apa yang saya kongsikan ini untuk memberi makluman situasi yang sebenar kepada semua. Sekian, harap maklum.
"MEMANIFESTASI KECEMERLANGAN, MEMARTABATKAN KEGEMILANGAN"
Yang benar,
KHAIRUL ANUAR ABU KASIM
YDP MPMUM 2009/2010.
No comments:
Post a Comment