MEMORANDUM TUNTUTAN
PENGURANGAN HARGA YURAN KOLEJ-KOLEJ
KEDIAMAN DI UNIVERSITI MALAYA
PENDAHULUAN
Isu harga yuran Kolej Kediaman di Universiti Malaya merupakan satu permasalahan tradisi yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. Isu ini dipandang serius kerana memberi impak kepada mahasiswa akibat harga yuran yang terlalu mahal dan lebih membebankan lagi dengan kehidupan di bandaraya Kuala Lumpur yang memerlukan kos sara hidup yang sangat tinggi. Sebagai mahasiswa yang belum bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya dengan wang pinjaman atau biasiswa semestinya menyukarkan lagi kehidupan selaku penuntut di manara gading sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan secara holistik serta bijaksana.
Justeru itu kami pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Sesi 2009/2010 (MPMUM) selaku suara kepada kebajikan mahasiswa seluruh kampus ingin menuntut agar pengurangan harga yuran kolej-kolej kediaman dapat dipertimbangkan seterusnya diluluskan sesuai dengan kemampuan mahasiswa. Pada masa kini, harga yuran yang dikenakan kepada penghuni kolej iaitu bagi Kolej Kediaman yang memiliki dewan makan sebanyak RM10.00 sehari manakala Kolej Kediaman yang tidak memiliki dewan makan dikenakan bayaran yuran sebanyak RM6.50 sehari.
Jika diimbas kembali sejarah harga yuran kolej kediaman, pada tahun 1980 harga yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM6.50 (terdapat hanya enam buah kolej kediaman), seterusnya pada tahun 1987 harga yuran dinaikkan kepada RM8.00 sehari. Akabat kesan kerugian perbelanjaan kolej pada tahun 1996, pihak universiti telah menaikkan lagi kadar yuran pada tahun 1998 menjadi jumlahnya sebanyak RM10.00.
Oleh itu pihak kami berbesar hati agar kadar yuran kolej kediaman pada masa kini dapat dikurangkan serendah-rendahnya pada kadar RM4.50 sehari setelah mengambil kira beberapa faktor sampingan serta anggaran perbelanjaan kolej kediaman dalam tempoh setahun. Dalam memorandum ini juga, kami akan lampirkan anggaran perbelanjaan kasar kolej kediaman setahun serta perbandingan harga yuran asrama bagi universiti-universiti tempatan yang lain. Pihak kami akan cuba meyakinkan pada pihak YBhg. Dato’ bahawa cadangan penurunan harga yuran ini adalah tepat pada masanya dan relevan untuk digunapakai sepenuhnya pada masa hadapan.
JUSTIFIKASI
- Berdasarkan kepada anggaran perbelanjaan kolej kediaman setahun seperti di lampiran di bawah, pada kadar RM4.50 sehari adalah munasabah dan masih mencukupi untun menanggung segala kos yang digunakan oleh pentadbiran kolej kediaman. Anggaran pendapatan sesebuah kolej kediaman ialah sebanyak RM830,000.00 manakala pendapatan kolej daripada bayaran 700 orang penghuni adalah sebanyak RM756,000.00 setahun. Jumlah kos tambahan yang diperlukan lagi sekurang-kurangnya RM74,000.00 tetapi ini dapat di atasi sekiranya bayaran bil eletrik yang ditanggung sepenuhnya oleh kolej kediaman kini disubsidikan oleh pihak universiti sebagaimana yang dilakukan oleh universiti-universiti tempatan yang lain. Sekiranya RM4.50 ini relevan dan digunapakai oleh Kolej Kediaman, jumlah yang perlu dibayar oleh mahasiswa hanyalah sebanyak RM4.50 x 30 hari x 4 bulan = RM540.00 sahaja. Jika dinilai semula dengan kos perbelanjaan ini, mungkin kadar ini juga dapat dikurangkan lebih daripada itu dan tidak mustahil boleh pada kadar serendah RM3.50.
- Kami telah membuat perbandingan di antara yuran kolej kediaman dari semua IPTA di seluruh Malaysia dengan harga yuran di Universiti Malaya. Dari penelitian kami, harga yuran di Universiti Malaya adalah yang tertinggi. Disini menimbulkan ketidakadilan terhadap mahasiswa dan apa yang mengecewakan lagi, kemudahan di asrama-asrama di universiti lain adalah sama atau lebih baik daripada perkhidmatan yang terdapat di Kolej Kediaman kini.
- Pengurangan harga yuran ini juga sememangnya dapat mengurangkan bebanan seluruh mahasiswa yang menginap di Kolej Kediaman ia selari dengan prinsip Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapian Diutamakan. Selain itu, ini memberikan gambaran bahawa kesungguhan universiti dalam memberikan penumpuan kepada aspek kebajikan mahasiswa, sementara di pihak kerajaan pula di lihat dapat memperkasakan lagi institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan kemudahan yang komprehensif.
CADANGAN
Dalam proses pengurangan harga yuran ini, kami melihat beberapa perkara yang dapat merealisasikan hasrat ini. Berikut adalah beberapa cadangan sebagai langkah untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh pihak kolej serta penambahbaikan pada masa depan :
- Kami mencadangkan agar pembayaran elektrik yang ditangung oleh pihak Kolej Kediaman sebelum ini di tanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
- Mencadangkan agar dewan makan di setiap Kolej Kediaman ditutup sepenuhnya. Dalam hal ini, pihak Kolej Kediaman pula perlulah mengambil inisiatif untuk menyediakan ruang dapur kecil sekurang-kurangnya di setiap aras bagi semua blok dan menempatkan peralatan kemudahan seperti mini periuk nasi, pemanas air dan seumpamanya. Kebanyakkan universiti yang baru, kemudahan asrama yang dimilikinya menyediakan penginapan berkonsepkan rumah apartment yang mempunyai 3 hingga 5 bilik serta mini ruang dapur.
- Memusatkan aktiviti-aktiviti pelajar bagi mengurangkan perbelanjaan Kolej Kediaman sebagai contoh Program Opkim Perdana, Dalam masa yang sama, yuran kegiatan pelajar yang dibayar sebanyak RM50.00 setiap semester hanya perlu dibayar sekali setahun iaitu hanya perlu dibayar pada samester pertama sahaja.
- Menempatkan lebih ramai staf kolej yang dibawa masuk melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengurangkan kos pembayaran pekerja di Kolej Kediaman.
PENUTUP
Kami daripada pihak MPMUM sangat berbesar hati sekiranya cadangan kami ini dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya. Masalah yuran ini diharapkan dapat diselesaikan dengan jayanya demi menjaga kebajikan seluruh mahasiswa di Universiti Malaya.
Di samping itu juga, pihak kami berharap dengan pengurangan kadar yuran kolej kediaman tidak lagi ada di kalangan mahasiswa yang terpaksa berkerja sambilan semata-mata ingin mencari wang saku tambahan bagi tempoh pengajian mereka. Hal ini kerana masih ramai lagi mahasiswa yang mempunyai latarbelakang kehidupan dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kami sendiri pernah mendapat berita di kalangan mahasiswa yang menggunakan wang pinjaman mereka untuk diberikan kepada keluarga di kampong.
Masalah ini juga pernah dipersoalkan serta dibangkitkan oleh barisan pimpinan MPMUM yang lepas dan pada sesi kali ini sekali lagi ianya disuarakan oleh pihak kami dengan harapan sinar kemenangan berpihak kepada mahasiswa. Tanpa sokongan YBhg. Dato’ dan juga semua pihak berkaitan, kami pasti ianya hanya perjuang omong-omong kosong malah tidak akan dapat diselesaikan dengan segera. Akhir kata, kami daripada mahasiswa Universiti Malaya menuntut sekali lagi agar dapat mengurangkan kadar yuran kolej kediaman serendah RM4.50 dan lebih daripada itu.
Disediakan oleh,
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA SESI 2009/2010
No comments:
Post a Comment