Pages

Wednesday, October 20

TINGKAT IMEJ ISLAM MELALUI PENDIDIKAN

  MUHYIDDIN   bersama Ketua Pengarah ISESCO, Abdulaziz Othman Altwaijri (empat kiri) dan Mohamed Khaled  (empat kanan) bergambar bersama penerima anugerah selepas majlis perasmian ICMHESR Kelima, semalam.
MUHYIDDIN bersama Ketua Pengarah ISESCO, Abdulaziz Othman Altwaijri (empat kiri) dan Mohamed Khaled (empat kanan) bergambar bersama penerima anugerah selepas majlis perasmian ICMHESR Kelima, semalam.
Tindakan bersepadu mewujudkan persepsi terhadap Muslim sebagai umat berintegriti
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sudah tiba masanya negara Islam bekerjasama mengambil tindakan bersepadu untuk menaikkan imej Islam sebagai agama yang aman melalui sistem pendidikan berkualiti.
Timbalan Perdana Menteri berkata pembudayaan kualiti dalam sistem pendidikan bukan hanya kepada aspek meningkatkan peruntukkan semata-mata, sebaliknya ia adalah usaha ke arah meningkatkan persepsi terhadap Muslim sebagai umat yang berintegriti.
Selain itu, ia juga bagi memperbaiki persepsi terhadap peranan wanita Islam dalam pembinaan negara dan pembangunan sumber manusia, di samping meningkatkan peranan serta sumbangan belia dalam pembangunan sosial dan ekonomi.
“Diharapkan melalui semua usaha ini, kita boleh mempertingkat kualiti kehidupan untuk semua, sekali gus menjadikan dunia tempat yang lebih selamat bagi setiap orang,” katanya berucap merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Pengajian Tinggi Dan Penyelidikan Saintifik Islam (ICMHESR) Kelima di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Persidangan tiga hari itu bertemakan `Pembudayaan Kualiti Dalam Akademia, Penyelidikan dan Inovasi Ke Arah Kemakmuran Ummah’.
Persidangan yang julung kali diadakan di sini, dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) dihadiri peserta dari 48 negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), termasuk 25 Menteri Pengajian Tinggi.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pendidikan berkualiti mencakupi pembangunan minda dan personaliti serta peningkatan potensi individu bagi membangunkan masyarakat yang mengenali kepelbagaian budaya, demokrasi, hak asasi manusia, nilai moral, ekuiti akses kepada pengetahuan serta pembelajaran sepanjang hayat.
Dalam konteks ini, beliau berkata, pendidikan tidak menekankan pembentukan karakter positif secara praktikalnya tiada nilai dalam Islam.
“Justeru, pembudayaan kualiti sistem pendidikan adalah lebih daripada sekadar melaksanakan sistem dan prosedur atau membina sekolah dan universiti semata-mata.
“Kita mesti menggalakkan penyelidikan dan inovasi secara beretika sebagai sebahagian daripada budaya institusi pengajian tinggi,” katanya.
Pada majlis sama, Muhyiddin turut menyampaikan Anugerah Hadiah Sains ISESCO 2010 kepada enam pemenang iaitu Prof Dr Mohamed Amin Embi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang teknologi; Prof Madya Dr Hossein Baharvand (Iran – biologi), Prof Dr Mirsaidov Ulmas (Tajikistan – kimia), Prof Dr Muhammad Qasim Jan (Pakistan - geologi), Prof Madya Dr Odibat Zaid (Jordan – matematik) dan Prof Dr Shabat Mohammed (Palestin – Fizik).
SUMBER : BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment