KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perkembangan inovasi serta ilmu sains dan teknologi mampu menjadi medium untuk menghubungkan dunia Islam dan bukan Islam seterusnya menangani masalah Islamofobia.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan ilmu sains dan teknologi juga akan membantu membentuk jalinan kerjasama lebih erat antara dunia Islam dan bukan Islam.
"Usaha menggembeling kepakaran dan kemampuan negara-negara Islam bukannya bertujuan bersaing dengan dunia bukan Islam sebaliknya sebagai persediaan untuk kedua-dua pihak saling bekerjasama.
"Bagaimanapun, negara-negara Islam juga perlu bekerjasama untuk mampu berdiri sama tinggi dan menyertai cabaran pembangunan ilmu sains dan teknologi seperti teknologi nano di peringkat global," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Perasmian Persidangan Menteri-menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Islam Kelima (ICMHESR) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC), di sini hari ini.
Hadir sama Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Abdul Moiz Bokhari; Ketua Pengarah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (Isesco), Dr. Abdul Aziz Othman Altwaujiri dan Menteri Pengajian Tinggi dan Penyelidikan Saintifik Sudan, Dr. Peter Adwok Nyaba.
Persidangan kali kelima itu diadakan buat pertama kali di Malaysia serta rantau Asia dan disertai 48 negara Islam dengan kehadiran 25 Menteri Pengajian Tinggi dan wakil 20 pertubuhan antarabangsa.
Tambah Mohamed Khaled, dunia Islam perlu bekerjasama, berbincang dan mengatur strategi agar sumber dan kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki negara OIC dapat digunakan untuk memajukan seluruh umat Islam.
"Kita berharap ICMHESR kali ini dapat membentuk asas kukuh untuk memudahkan kerjasama antara negara OIC serta dunia Islam dan bukan Islam kelak," katanya.
Menurutnya lagi, selain fokus kepada perkembangan teknologi baru, indeks prestasi utama negara Islam, promosi teknologi nano, inovasi dan projek Atlas Inovasi Dunia Islam, persidangan tersebut juga bakal menjadi tapak membentuk jaringan dan membincangkan peranan saintis wanita Islam.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan Isesco mahu membetulkan pandangan serong terhadap umat Islam yang rata-rata dilihat sebagai mundur, agresif dan bencikan pemodenan.
"Ada juga pihak yang menganggap orang Islam suka melakukan jenayah, keganasan dan penindasan wanita yang nyata sekali tidak benar. Kita perlu membuktikan kita mampu menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia di dunia serba moden kini," tegasnya.
Sementara itu, Abdul Moiz mengharapkan persidangan tersebut dapat membantu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan pengajian tinggi.
No comments:
Post a Comment