Pages

Thursday, September 23

Nasib penuntut UM terlibat dalam kebakaran terbela

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Nasib 13 penuntut Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) yang rumah sewa mereka terbakar dalam kejadian pada 8 September lalu terbela selepas menerima bantuan kewangan daripada pihak universiti tersebut hari ini.

Naib Canselor UM, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata, sumbangan tersebut adalah bagi membantu meringankan beban mereka yang terlibat.

Katanya, pihak UM sentiasa memantau dan mengambil berat setiap masalah yang membabitkan penuntutnya bagi memastikan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik untuk menimba ilmu.

“Kami sentiasa memantau keadaan dan masalah penuntut walaupun mereka tinggal di luar kampus,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada 13 mangsa kebakaran itu di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof. Dr. Rohana Yusof dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UM, Khairul Anuar.

Salah seorang penuntut terlibat, Mohd. Rizal Azizan, 22, ketika ditemui berkata, rumah sewa mereka di Seksyen 17, Petaling Jaya terbakar semasa kesemua 13 penyewa pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, dia dihubungi pemilik rumah sewa itu pada hari kejadian yang memaklumkan kebakaran tersebut.

“Kebanyakan dokumen penting milik kami hangus dan ada juga barang berharga hilang,” katanya yang mengambil jurusan Syariah Islam.

Mohd. Rizal berkata, buat masa ini dia dan rakan-rakannya diberi rumah baru untuk disewa oleh penyewa yang sama buat sementara waktu.

Katanya, dia masih belum mengetahui punca kebakaran, namun mengikut laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah terdapat unsur-unsur khianat dalam kes tersebut.

“Ini kerana terdapat barang-barang berharga milik kami hilang dan punca kebakaran juga mencurigakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment