PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menutup ruang perbincangan berhubung cadangan membenarkan mahasiswa berpolitik, sebaliknya menggalakkan diskusi secara ilmiah bagi mendapatkan pelbagai maklum balas mengenainya.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah membuat keputusan bahawa berdasarkan kajian mendalam membabitkan semua pihak, cadangan itu belum boleh dipersetujui.
Beliau berkata, banyak isu lain yang lebih penting dan perlu diberi perhatian seperti kebolehpasaran graduan, kerjasama akademia dan industri, kerjasama universiti dan komuniti, pembangunan keusahawanan mahasiswa serta penerapan ilmu, nilai dan kemahiran mahasiswa.
“Kementerian sentiasa terbuka dalam isu itu, namun ia perlu mendapat sokongan semua pihak termasuk mahasiswa sendiri,” katanya selepas melancarkan Program Semarak Kemerdekaan Ke-53 peringkat KPT, di sini semalam.
Sebelum ini, Kabinet memutuskan tidak membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik kepartian kerana berpendapat Seksyen 15, Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda baru-baru ini sudah memadai dalam konteks membenarkan mahasiswa mengambil bahagian dalam politik kepartian selepas mendapat kebenaran naib canselor.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata KPT sedang mempertingkatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai hub inovasi rantau ini, sejajar pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi tumpuan dalam bidang inovasi kerana sektor pengajian tinggi penting dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti yang mampu memenuhi aspirasi kerajaan khususnya dalam bidang inovasi.
“Sudah tiba masanya, kita memulakan pelan untuk menjadikan negara sebagai hub inovasi serantau, antaranya dengan menambah jumlah pelajar yang mengikuti pengajian pada peringkat lepasan ijazah, selain meningkatkan program penyelidikan serta pembangunan antara institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara,” katanya.
“Secara tidak langsung, usaha ini mampu menyumbang kepada usaha kerajaan menjana transformasi negara yang berasaskan kepada ilmu pengetahuan,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, kementerian memberi peruntukan lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kepada IPT yang diiktiraf sebagai universiti penyelidikan kerana tumpuan kini bukan lagi dalam bentuk fizikal.
Beliau berkata, tiada IPT baru akan dibuka dalam masa terdekat, kerana kerajaan mahu memberi lebih tumpuan kepada usaha meningkatkan program penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Salam pemimpin mahasiswa sekalian.
ReplyDeleteLawati link ini :
http://www.facebook.com/kesatuananakmuda
Penglibatan pemimpin seperti anda sangat dialu-alukan.
Sebarang pertanyaan boleh rujuk ke page KAMU di laman facebook.