Pages

Tuesday, August 10

Dunia Akan Hormati Bahasa Melayu Jika Malaysia Berjaya - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahasa Melayu akan hanya dihormati oleh dunia jika Malaysia mampu mencapai tahap kejayaan lebih tinggi.
Beliau berkata untuk membina sebuah negara yang lebih unggul, rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu berfikiran terbuka untuk menggunakan teknologi bagi mendapatkan pengetahuan dan maklumat dalam pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris, sebelum Malaysia dapat meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengetahuan dan dihormati di mata dunia.
"Walaupun kita mahu berbangga dengan bahasa kita sendiri, kita perlu sedar yang orang lain mungkin tidak melihatnya sebagai penting untuk mempelajari bahasa ini jika ia dilihat tidak berguna kepada mereka.
"Untuk membolehkannya (untuk bahasa kebangsaan diiktiraf), Malaysia perlu berjaya dan perlu mempunyai akses kepada pengetahuan, yang kebanyakannya terdapat daalam bahasa Inggeris...dengan itu baru orang lain akan belajar bahasa kita," katanya semasa menyampaikan syarahan umum mengenai impak teknologi ke atas masa depan pengajian tinggi sempena ulang tahun ke-10 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini pada Selasa.
Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa belajar bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain bukan bermakna seseorang itu tidak cintakan bahasa ibunda.
"Belajar bahasa Inggeris bukan bermakna kita tidak patriotik. Kita belajar bahasa-bahasa lain untuk mendapatkan pengetahuan kerana kita mahu dihormati...apabila kita berpengetahuan, kita boleh gunakannya untuk memperbaiki diri sendiri, tidak kira ianya dalam apa juga bahasa," katanya.
Memberikan contoh orang Greek, China dan Arab, Dr Mahathir berkata mereka telah sampai ke tahap tinggi, lebih ramai orang berminat mempelajari bahasa mereka, khususnya untuk memahami tamadun mereka.
"Dalam dunia sekarang, pendidikan adalah faktor paling penting dalam membina sebuah negara berjaya," katanya.
Beliau menggesa penuntut institusi pengajian tinggi menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi moden untuk membangunkan sistem lebih baik yang dapat memberi faedah kepada lebih ramai orang dengan akses lebih mudah kepada pengetahuan dan maklumat.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan mengenai cadangan membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik, di mana mereka mungkin mengabaikan pelajaran jika mereka menghabiskan terlalu banyak masa berpolitik.
Merujuk kepada penglibatan pemimpin-pemimpin sekarang dalam politik semasa menjadi penuntut, beliau berpendapat penglibatan mereka bukan dalam "politik sebenar" tetapi lebih kepada aktiviti mahasiswa.
Kerajaan semalam menyatakan kesediaan untuk mendengar pandangan semua pihak mengenai cadangan membenarkan mahasiswa aktif dalam politik. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment