KUANTAN: Golongan mahasiswa disaran menyuburkan semangat kesukarelawan sebagai satu pengupayaan kekentalan diri, kelasakan minda dan ketahanan peribadi sebagai benteng yang memagari kelangsungan agama, nusa dan bangsa.
Saranan itu diutarakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang turut bertitah bahawa semangat kesukarelawan adalah satu agenda yang perlu dijurai mahasiswa dan pihak universiti, kerana di situlah aplikasi ilmu pengetahuan serta sentuhan kemanusiaan bergabung.
Baginda bertitah kajian yang dilakukan pusat kaunseling Universiti Maryland, Amerika Syarikat pada 1992, menunjukkan jumlah mahasiswa yang berminat melakukan aktiviti kesukarelawan semakin merosot.
Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu juga bertitah, pelbagai alasan telah diberikan oleh mahasiswa yang kurang melibatkan diri dengan aktiviti kesukarelawan iaitu tidak ada masa dan sibuk dengan pelajaran.
"Kini setelah 18 tahun kajian tersebut dijalankan, kita harus menyoal adakah situasinya terus merosot, atau menunjukkan kemajuan. Pada hemat saya, rendahnya minat, kurangnya kesedaran untuk menyertai aktiviti kesularelawan di kalangan mahasiswa, perlu ditekuni penyelesaiannya dengan bijaksana,” titahnya pada majlis Konvokesyen Kelima UMP hari ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment