KUALA LUMPUR: Larangan berpolitik ke atas mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kekal, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Setakat hari ini mereka (pelajar) masih terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah pun dipinda bagi memberikan mereka lebih kebebasan bersuara.
"Malah di kampus juga telah diwujudkan semula sudut pidato bagi membolehkan pelajar mengeluarkan idea dan pandangan mereka dalam pelbagai isu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran buku 'Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia' di Kompleks Kraf Jalan Conlay di sini pada Selasa.
Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas cadangan supaya AUKU dipinda bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik kepartian.
"Perkara ini tidak menghalang mahasiswa membicarakan soal politik kerana mereka juga rakyat Malaysia.
"Yang kita tidak benarkan adalah bergiat aktif dalam parti politik," katanya.
Jelasnya, perkara tersebut tidak boleh disamakan dengan kelonggaran yang diberikan kepada guru-guru untuk terlibat dengan politik kerana pelajar sekolah masih lagi mentah dan tidak faham mengenai politik sedangkan jika mahasiswa dibenarkan berpolitik ia bakal mengundang kesan negatif kepada mereka.
"Di kebanyakan negara-negara maju ada yang menyekat dan menghalang pelajar mereka daripada terlibat dengan politik.
"Ini kerana mereka mahu mahasiswa memberi tumpuan yang lebih kepada soal pencapaian akademik. Ia tidak bermakna kita menyekat kebebasan berpolitik secara total," katanya.
No comments:
Post a Comment