Pages

Saturday, August 28

PERDANA MENTERI: I AM OPEN TO STUDENTS IN POLITICS




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau masih terbuka terhadap desakan supaya golongan mahasisw dibenarkan berpolitik.

Katanya, beliau masih terbuka untuk sebarang cadangan walaupun Kabinet secara dasarnya tidak begitu bersetuju.

"Saya masih memikirkan perkara ini dan terbuka untuk berdebat mengenai isu ini untuk membolehkan keputusan yang lebih baik dibuat," katanya ketika menjawab soalan dalam dialog sempena sesi 'TownHall' Makmal Pemuda BN hari ini.

Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya pelajar universiti dibenarkan bergiat aktif di dalam politik dengan memberi kebenaran kepada mereka untuk menjadi ahli atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik.

Menjawab satu soalan lain, perdana menteri berkata BN sedang menimbangkan mengenai cadangan membenarkan keahlian terus ke dalam BN, yang sekaligus menunjukkan kesungguhan parti itu untuk berubah.

Mengenai laporan akhir Makmal Pemuda BN itu, Najib berkata, kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan.

Makmal Pemuda BN yang telah dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri pada Februari lepas merupakan satu usaha untuk mencari titik sentuh antara kerajaan BN dengan golongan muda negara ini selain bertujuan untuk memahami aspirasi, permasalahan dan cadangan orang muda ke arah menjana dasar-dasar kerajaan yang mesra orang muda.

Laporan akhir Makmal hari ini terbahagi kepada empat sektor utama iaitu ekonomi, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk gesaan supaya kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum tidak kurang daripada RM1,000 sebulan bagi pekerja sepenuh masa, membina pangkalan data bagi membantu golongan muda yang di dalam fasa 'peralihan' seperti kehilangan kerja, sakit teruk atau krisis kewangan.

Dalam sektor pendidikan pula, kerajaan disaran untuk melancarkan kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah.

Bagi menggalakkan proses integrasi antara kaum, kerajaan disaran memberi insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja pelbagai kaum dan pelepasan cukai kepada restoran yang mendapat sijil perakuan halal.

Dalam menjamin proses demokrasi diamalkan, Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya waktu maksimum dua tahun ditetapkan bagi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sementara itu, Najib berkata kerajaan akan menyediakan geran khas bagi membantu dan menyokong pelaksanaan program berkaitan dengan Konsep 1Malaysia yang dikendali oleh golongan belia.

Perdana Menteri berkata geran itu, yang akan dipercepatkan kelulusannya, akan membolehkan lebih ramai golongan muda melibatkan diri dalam program-program 1Malaysia yang dianjurkan.

Ketika menjawab soalan, beliau berkata kebanyakan cadangan yang dikemukakan pada sesi itu adalah bernas dan akan diteliti oleh kerajaan.

"Satu daripada cadangan yang menarik perhatian saya ialah mewujudkan dana khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia. Kita akan sediakannya tidak lama lagi supaya lebih ramai orang muda terlibat dalam program 1Malaysia," katanya.

Berdasarkan laporan akhir Makmal Pemuda BN yang dibentangkan oleh Khairy, antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya Geran 1Malaysia diwujudkan bagi membantu pelaksanaan projek atau program yang menggalakkan atau meningkatkan hubungan antara kaum dan prinsip 1Malaysia.

Najib berkata kerajaan akan mencari mekanisme terbaik untuk memperkenalkan geran berkenaan.

"Mungkin kita boleh masukkan (pengwujudan geran) dalam ucapan belanjawan untuk dibentangkan dalam belanjawan akan datang dan mungkin juga dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebab ia merupakan pelan berterusan," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun mungkin tidak semua cadangan yang dikemukakan oleh makmal berkenaan diterima dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ialah kerajaan telah mendengar suara orang muda di negara ini.

Turut dibangkitkan pada sesi dialog berkenaan ialah mengenai isu gaji minimum pekerja tempatan, dan dalam soal ini, Najib berkata perbincangan sedang dilakukan dengan pihak majikan bagi berhubung cadangan berkenaan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment