Pages

Monday, December 27

MEMORANDUM TUNTUTAN PENGURANGAN HARGA YURAN KOLEJ KEDIAMAN OLEH MPMUM

MEMORANDUM TUNTUTAN
PENGURANGAN HARGA YURAN KOLEJ-KOLEJ
KEDIAMAN DI UNIVERSITI MALAYA

PENDAHULUAN
Isu harga yuran Kolej Kediaman di Universiti Malaya merupakan satu permasalahan tradisi yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini. Isu ini dipandang serius kerana memberi impak kepada mahasiswa akibat harga yuran yang terlalu mahal dan lebih membebankan lagi dengan kehidupan di bandaraya Kuala Lumpur yang memerlukan kos sara hidup yang sangat tinggi. Sebagai mahasiswa yang belum bekerja dan hanya bergantung sepenuhnya dengan wang pinjaman atau biasiswa semestinya menyukarkan lagi kehidupan selaku penuntut di manara gading sekiranya masalah ini tidak dapat diselesaikan secara holistik serta bijaksana.
Justeru itu kami pihak Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya Sesi 2009/2010 (MPMUM) selaku suara kepada kebajikan mahasiswa seluruh kampus ingin menuntut agar pengurangan harga yuran kolej-kolej kediaman dapat dipertimbangkan seterusnya diluluskan sesuai dengan kemampuan mahasiswa. Pada masa kini, harga yuran yang dikenakan kepada penghuni kolej iaitu bagi Kolej Kediaman yang memiliki dewan makan sebanyak RM10.00 sehari manakala Kolej Kediaman yang tidak memiliki dewan makan dikenakan bayaran yuran sebanyak RM6.50 sehari.
Jika diimbas kembali sejarah harga yuran kolej kediaman, pada tahun 1980 harga yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM6.50 (terdapat hanya enam buah kolej kediaman), seterusnya pada tahun 1987 harga yuran dinaikkan kepada RM8.00 sehari. Akabat kesan kerugian perbelanjaan kolej pada tahun 1996, pihak universiti telah menaikkan lagi kadar yuran pada tahun 1998 menjadi jumlahnya sebanyak RM10.00.
Oleh itu pihak kami berbesar hati agar kadar yuran kolej kediaman pada masa kini dapat dikurangkan serendah-rendahnya pada kadar RM4.50 sehari setelah mengambil kira beberapa faktor sampingan serta anggaran perbelanjaan kolej kediaman dalam tempoh setahun. Dalam memorandum ini juga, kami akan lampirkan anggaran perbelanjaan kasar kolej kediaman setahun serta perbandingan harga yuran asrama bagi universiti-universiti tempatan yang lain. Pihak kami akan cuba meyakinkan pada pihak YBhg. Dato’ bahawa cadangan penurunan harga yuran ini adalah tepat pada masanya dan relevan untuk digunapakai sepenuhnya pada masa hadapan.
JUSTIFIKASI
  1. Berdasarkan kepada anggaran perbelanjaan kolej kediaman setahun seperti di lampiran di bawah, pada kadar RM4.50 sehari adalah munasabah dan masih mencukupi untun menanggung segala kos yang digunakan oleh pentadbiran kolej kediaman. Anggaran pendapatan sesebuah kolej kediaman ialah sebanyak RM830,000.00 manakala pendapatan kolej daripada bayaran 700 orang penghuni adalah sebanyak RM756,000.00 setahun. Jumlah kos tambahan yang diperlukan lagi sekurang-kurangnya RM74,000.00 tetapi ini dapat di atasi sekiranya bayaran bil eletrik yang ditanggung sepenuhnya oleh kolej kediaman kini disubsidikan oleh pihak universiti sebagaimana yang dilakukan oleh universiti-universiti tempatan yang lain. Sekiranya RM4.50 ini relevan dan digunapakai oleh Kolej Kediaman, jumlah yang perlu dibayar oleh mahasiswa hanyalah sebanyak RM4.50 x 30 hari x 4 bulan = RM540.00 sahaja. Jika dinilai semula dengan kos perbelanjaan ini, mungkin kadar ini juga dapat dikurangkan lebih daripada itu dan tidak mustahil boleh pada kadar serendah RM3.50.
  2. Kami telah membuat perbandingan di antara yuran kolej kediaman dari semua IPTA di seluruh Malaysia dengan harga yuran di Universiti Malaya. Dari penelitian kami, harga yuran di Universiti Malaya adalah yang tertinggi. Disini menimbulkan ketidakadilan terhadap mahasiswa dan apa yang mengecewakan lagi, kemudahan di asrama-asrama di universiti lain adalah sama atau lebih baik daripada perkhidmatan yang terdapat di Kolej Kediaman kini.
  3. Pengurangan harga yuran ini juga sememangnya dapat mengurangkan bebanan seluruh mahasiswa yang menginap di Kolej Kediaman ia selari dengan prinsip Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapian Diutamakan. Selain itu, ini memberikan gambaran bahawa kesungguhan universiti dalam memberikan penumpuan kepada aspek kebajikan mahasiswa, sementara di pihak kerajaan pula di lihat dapat memperkasakan lagi institusi pengajian tinggi tempatan dengan menyediakan kemudahan yang komprehensif.
CADANGAN
Dalam proses pengurangan harga yuran ini, kami melihat beberapa perkara yang dapat merealisasikan hasrat ini. Berikut adalah beberapa cadangan sebagai langkah untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh pihak kolej serta penambahbaikan pada masa depan :
  1. Kami mencadangkan agar pembayaran elektrik yang ditangung oleh pihak Kolej Kediaman sebelum ini di tanggung sepenuhnya oleh pihak universiti.
  2. Mencadangkan agar dewan makan di setiap Kolej Kediaman ditutup sepenuhnya. Dalam hal ini, pihak Kolej Kediaman pula perlulah mengambil inisiatif untuk menyediakan ruang dapur kecil sekurang-kurangnya di setiap aras bagi semua blok dan menempatkan peralatan kemudahan seperti mini periuk nasi, pemanas air dan seumpamanya. Kebanyakkan universiti yang baru, kemudahan asrama yang dimilikinya menyediakan penginapan berkonsepkan rumah apartment yang mempunyai 3 hingga 5 bilik serta mini ruang dapur.
  3. Memusatkan aktiviti-aktiviti pelajar bagi mengurangkan perbelanjaan Kolej Kediaman sebagai contoh Program Opkim Perdana, Dalam masa yang sama, yuran kegiatan pelajar yang dibayar sebanyak RM50.00 setiap semester hanya perlu dibayar sekali setahun iaitu hanya perlu dibayar pada samester pertama sahaja.
  4. Menempatkan lebih ramai staf kolej yang dibawa masuk melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengurangkan kos pembayaran pekerja di Kolej Kediaman.
PENUTUP
Kami daripada pihak MPMUM sangat berbesar hati sekiranya cadangan kami ini dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya. Masalah yuran ini diharapkan dapat diselesaikan dengan jayanya demi menjaga kebajikan seluruh mahasiswa di Universiti Malaya.
Di samping itu juga, pihak kami berharap dengan pengurangan kadar yuran kolej kediaman tidak lagi ada di kalangan mahasiswa yang terpaksa berkerja sambilan semata-mata ingin mencari wang saku tambahan bagi tempoh pengajian mereka. Hal ini kerana masih ramai lagi mahasiswa yang mempunyai latarbelakang kehidupan dari keluarga yang berpendapatan rendah dan kami sendiri pernah mendapat berita di kalangan mahasiswa yang menggunakan wang pinjaman mereka untuk diberikan kepada keluarga di kampong.
Masalah ini juga pernah dipersoalkan serta dibangkitkan oleh barisan pimpinan MPMUM yang lepas dan pada sesi kali ini sekali lagi ianya disuarakan oleh pihak kami dengan harapan sinar kemenangan berpihak kepada mahasiswa. Tanpa sokongan YBhg. Dato’ dan juga semua pihak berkaitan, kami pasti ianya hanya perjuang omong-omong kosong malah tidak akan dapat diselesaikan dengan segera. Akhir kata, kami daripada mahasiswa Universiti Malaya menuntut sekali lagi agar dapat mengurangkan kadar yuran kolej kediaman serendah RM4.50 dan lebih daripada itu.
Disediakan oleh,
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA
UNIVERSITI MALAYA SESI 2009/2010

Wednesday, December 1

MASIH RELEVANKAH DEWAN MAKAN KOLEJ KEDIAMAN?

Salam dan selamat sejahtera,
Terlebih dahulu, tidak terlewat untuk diucapkan selamat menghabiskan perjuangan peperiksaan untuk mahasiswa UM yang masih mempunyai bagi kertas peperiksaan, manakala yang sudah habis tahniah dan selamat bercuti.
Saya terpanggil untuk MENDAPATKAN FEEDBACK secara online tentang isu dewan makan antara lain juga menjadi faktor kepada yuran kolej kediaman yang tinggi.
Acapkali orang kata, UM yuran paling mahal dan tinggi berbanding universiti lain (hakikatnya benar). Berbalik kepada isu fokus kita pada perbincangan kali ini iaitu dewan makan, sehingga kini hanya terdapat 8 kolej kediaman yang mempunyai dewan makan dan terbaru apabila kolej sembilan mengambil keputusan untuk menutup dewan makan atas faktor kehendak pelajar sendiri. Manakala kolej keempat telah memutuskan untuk menyediakan makanan hanya pagi dan malam sahaja juga atas pilihan mahasiswa.
Faktor yuran, kolej kediaman diletakkan sepenuhnya di bawah Dewan Asrama-Asrama (DAA) telah menetapkan harga yuran seperti berikut :
  • Kolej ada DM : RM6.50 (sehari) + RM3.50 (tiga kali makan), JUMLAH = RM10.00
  • Kolej tiada DM : RM6.50 (sehari), JUMLAH = RM6.50
Untuk makluman semua, harga yuran ini tidak pernah naik sama sekali sejak dulu lagi walaupun terdapat desakan beberapa pengetua untuk menaikkan harga yuran tersebut. Lembaga Pengurusan Universiti (LPU) sentiasa bertegas untuk mengekalkan harga yang sedia ada dan tidak akan naik sama sekali. Perlu diingatkan, perubahan harga yuran bagi kolej kediaman adalah bergantung kepada BILANGAN HARI KITA MENGINAP DI KOLEJ KEDIAMAN BAGI SEMESTER TERSEBUT DI SAMPING JUGA YURAN SEPERTI JTK/JIK, YURAN MAJALAH DAN 'ANNUAL DINNER'. Setakat ini, tiada 'charge' lain yang dikenakan melainkan sekiranya hal tersebut di putuskan terlebih dahulu di dalam mesyuarat DAA. Sekiranya berlaku kesilapan dalam pengiraan harga yuran, pelajar bolehlah berhubung terus dengan pihak kolej kediaman seperti yang berlaku di kolej ke-11 baru-baru ini di mana RM45 telahpun dikembalikan ke dalam akaun pelajar setelah saya sendiri dapati berlaku kesilapan pengiraannya.
Apa yang saya ingin bincangkan,yuran asrama universiti-universiti lain lebih rendah jika dibandingkan dengan kolej kediaman UM kerana beberapa faktor iaitu:
  • Dewan makan di kolej kediaman, hanya di UM sahaja yang masih menggunakan konsep ini.
  • Pentadbiran sendiri (mengambil pekerja termasuklah mak cik-mak cik DM dengan membayar gaji kepada mereka atas kapasiti kolej kediaman masing-masing)
  • Bil elektrik yang sepenuhnya dibayar oleh pihak kolej kediaman, hanya bil air sahaja dibayar oleh universiti.
Bagi menangani isu ini, salah satu faktor diambil adalah dengan mencadangkan penutupan DEWAN MAKAN. Kajian pernah dibuat oleh pihak kolej kediaman bahawa harga runcit barangan keperluan yang meningkat menyebabkan harga yang RELEVAN ADALAH SEKITAR RM16.50 SEHARI DAN INI SUDAH PASTI MENGUNDANG KEPADA KEMARAHAN PELAJAR SEKIRANYA HARGA INI BERLAKU !!! Tetapi hakikatnya, dengan RM3.50 untuk menampung segala peralatan bahan-bahan dapur sudah tidak cukup lagi memandangkan perubahan harga pasaran bahan-bahan masak. Akibatnya, kolej kediaman mengalami kerugian setiap tahun hingga berjuta-juta ringgit. Perlu diingatkan bahawa yuran anda adalah sepenuhnya dibelanjakan untuk fasiliti kolej kediaman, urusan pentabdiran termasuklah bayaran gaji pekerja, projek-projek kegiatan pelajar dan hal-hal sewaktu dengannya.
Secara logiknya, sekiranya mahasiswa ingin melihat kepada pengurangan harga yuran bagi kolej kediaman ianya sebenarnyasudah relevan dengan keperluan semasa. Tetapi masih ramai lagi pihak yang tidak tahu dan cuba menjadikan isu ini seperti barah seolah-olah tiada ubat. Justeru itu, saya mohon pandangan saudar-saudari yang budiman lagi bijaksana, apakah langkah untuk menutup DM di semua kolej relevan atau tidak untuk melihat masalah kerugian kolej kediaman tidak akan berlaku lagi di samping harga yuran dapat dikurangkan pada kadar yang lebih rendah.
Dalam hal ini, SPKUM pimpinan saudara Fahmi Adilah yang lepas telah membuat kajian kepada setiap kolej kediaman dan hasilnya terdapat beberapa kolej kediaman penghuninya mohon menutup dewan makan seperti apa yang berlaku ke atas kolej ke-9. Dan apa kali ini, MPMUM dengan kerjasama SPKUM turut membuat kajian yang sama untuk medapatkan 'feedback' yang terbaru dan hasilnya masih lagi dalam proses. Tetapi setakat ini, rata-rata mahasiswa ingin DEWAN MAKAN KEKAL seperti biasa. Ini sudah pasti, jimat wang dan makanan sudah tersedia.
Sekali lagi, saya mohon kepada warga UM yang prihatin dengan isu ini untuk berikan pandangan dan saya akan cuba lakukan sesuatu berdasarkan pandangan ataupun cadangan kalian. Saya amat yakin, isu yuran ini dihadapi dan cuba diselesaikan setiap tahun oleh barisan pimpinan pelajar termasuk MPMUM yang lepas dan juga JTK kolej kediaman. Akhir kata, sama-sama kita berbincang secara ilmiah dan apa yang saya kongsikan ini untuk memberi makluman situasi yang sebenar kepada semua. Sekian, harap maklum.
"MEMANIFESTASI KECEMERLANGAN, MEMARTABATKAN KEGEMILANGAN"
Yang benar,
KHAIRUL ANUAR ABU KASIM
YDP MPMUM 2009/2010.